Sunday, December 26, 2010

Kenapa Anda Perlu Menyimpan Emas

Emas merupakan salah satu cabang pelaburan yang sangat menarik untuk diketahui. Dengan mempelajari rahsia pelaburan emas, anda akan mempunyai portfolio pelaburan yang amat menguntungkan. Pelabur yang bijak adalah mereka-mereka yang mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka. Jadi sama-samalah kita memahami mengapa emas adalah pelaburan yang terbaik, terutama emas fizikal. Jangan sesekali terlibat dengan SKIM PELABURAN EMAS.
 

EMAS

Kebanyakan dari kita teragak-agak untuk membeli atau menyimpan emas oleh kerana harganya dirasakan terlalu tinggi. Majoriti peminat emas adalah kaum wanita, yang mana mereka memakai emas sebagai barang kemas atau perhiasan. Manakala bagi kaum lelaki pula, jawapan biasa yang akan diberikan semasa membuat keputusan membeli emas ialah 'tunggulah dulu, tunggu masa harga emas turun'. Tahukah kita bahawa harga emas akan lebih tinggi di masa akan datang berbanding sekarang. Saya masih ingat harga emas pada tahun 1998 adalah lebih kurang RM33 /gram. Akan tetapi pada masa sekarang, harga emas adalah lebih kurang pada harga RM145 /gram. Selama lebih kurang 12 tahun harga emas telah meningkat sebanyak 340% (28% setahun). Bayangkanlah berapakah keuntungan yang kita telah dapat sekiranya kita telah mula menyimpan emas semenjak tahun 1998?. Jika pada tahun 1998 kita telah memiliki emas berjumlah RM10,000, pada hari ini emas tersebut telah bernilai hampir RM50,000. Macamana? untung ke tidak? Adakah lagi portfolio pelaburan lain yang lebih baik berbanding emas? Amanah Saham? Pasaran Saham? Simpanan Tetap? Masa yang lepas tak akan kembali lagi. Kita pun sudah sedia maklum bahawa apa-apa kenaikan harga barang di negara kita akan susah untuk turun kembali. Setiap tahun ada saja barang-barang yang akan naik harga.

Untuk memberi gambaran yang jelas mengenai peningkatan harga emas dunia, silat lihat graf di bawah



Selama 20 tahun semenjak tahun 1980, purata harga emas hanya berlegar di sekitar USD350 per ounce. Akan tetapi semenjak tahun 2002 harga emas telah mula menunjukkan peningkatan yang ketara. Sehingga hari ini ianya telah mencapai paras USD1380 per ounce. Melihat kepada graf di atas kita dapat lihat bahawa peningkatan harga emas hampir membentuk peningkatan secara 'exponential'. Jadi adakah kita sudah terlambat untuk membeli dan menyimpan emas? Jawapannya adalah 'Belum lagi'. Kita hanya pada tahap kenaikan exponential sebanyak 15%. Ini bermaksud ianya baru bermula. Diramalkan harga emas akan mencecah sehingga USD5000 per ounce pada tahun-tahun yang akan mendatang. Mike Maloney pula meramalkan harga emas akan mencecah sehingga USD15,000 per ounce. Sungguh gila kan?
                       Jadi apa sebenarnya telah berlaku? Ini berlaku disebabkan masalah kewangan di Amerika Syarikat yang dihadapi oleh syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Fannie Mae and Freddie Mac, Lehman Brothers, Merill Lynch, AIG, Citigroup dan lain-lain. Langkah-langkah menyelamatkan telah dijalankan. Sebagai contoh AIG sahaja , sebanyak USD90 billion telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat ini oleh kerajaan Amerika Syarikat. Ini menyebabkan Federal Reserve perlu mencetak lebih banyak wang untuk menyelamatkan syarikat-syarikat ini. 

Semenjak tahun 1971, US dollar telah tidak disandarkan kepada emas lagi oleh Presiden Nixon. Begitu jugalah dengan 'currency' lain di seluruh dunia termasuk RM Malaysia hari ini. Wang kertas ini tidak ada apa-apa nilai kecuali di atas kepercayaan rakyat dan jaminan kerajaan sebagai ganti pembayaran kepada produk dan servis. Adakah anda terkejut? Jika anda memiliki wang RM100, 000 hari ini, anda sebenarnya tidak memiliki kekayaan sebenar. Jumlah RM100, 000 hanya pada nombor sahaja dan ianya boleh susut nilai dari segi kuasa membeli dan akhirnya lenyap apabila berlaku keruntuhan ekonomi. Ditambah pula dengan inflasi, nilai RM100, 000 hari ini tidak akan sama lagi nilai RM100,000 sepuluh tahun akan datang dari segi kuasa membeli. Kita dapati kuasa membeli semakin berkurangan saban tahun.Kenapa ini berlaku ya? Teruskanlah membaca.

                  Mencetak lebih banyak wang menyebabkan nilai 'currency' itu menurun. Bayangkan kita memiliki 1/4 gelas air oren yang berkualiti tinggi, apabila kita tambahkan air masak sehingga penuh, kita akan dapat lebih banyak air oren tapi kualitinya telah berkurang. Itu lah yang telah berlaku kepada US Dollar. Harga emas sangat berkait dengan nilai US Dollar. Secara amnya ,US Dollar turun, harga emas akan naik. Untuk gambaran lebih jelas sila lihat graf di bawah.



 KEISTIMEWAAN EMAS

Emas adalah penyimpan nilai. Apabila berlaku ketidak-tentuan dalam ekonomi dunia, pelabur-pelabur yang kaya-raya akan menukarkan kekayaan mereka yang berbentuk 'currency' kepada emas dan perak. Ini kerana, sepanjang sejarah manusia nilai emas tidak pernah menjadi kosong (tidak berharga). Nilai emas juga adalah sebagai pengukur kesihatan ekonomi dunia berlandaskan 'currency'. Bila harga emas meningkat, ini menunjukkan ekonomi sedang bermasalah. Masalah ini adalah disebabkan inflasi yang menyebabkan kuasa membeli susut saban tahun. Tahukah anda pada zaman nabi, berapakah harga seekor kambing? Jawapannya adalah 1 dinar. Setelah 1400 tahun, hari ini kambing masih lagi berharga lebih kurang 1 dinar. Apa pendapat anda?
      Antara keistimewaan emas ialah ia dianggap bernilai oleh seluruh umat manusia. Ia juga merupakan aset yang paling mudah ditukarkan kepada wang kertas. Tidak ada aset lain yang boleh menandingi kecairan emas. Ia bukan sahaja boleh dicairkan di Malaysia tetapi boleh dicairkan di seluruh dunia. Ketika perang Vietnam sekitar 1970-an, beribu-ribu orang pelarian daripada Vietnam Selatan telah lari meninggalkan kampung halaman mereka. Mereka terpaksa meninggalkan seluruh harga benda seperti rumah, tanah, kebun dan ternakan mereka. Harta yang mereka bawa semasa melarikan diri ialah emas bukannya mata wang Vietnam. Ini kerana mereka sedar bahawa hanya emas yang diiktiraf bernilai di mana sahaja. Ia boleh ditukarkan kepada wang kertas di negara persinggahan mereka. Dengan menyimpan emas, pelarian Vietnam ini boleh memulakan hidup baru mereka dengan mudah di negara persinggahan mereka. Bayangkan jika mereka membawa wang kertas Vietnam Selatan? Apa yang akan berlaku? Sudah pasti mereka tidak dapat menukarnya kerana wang kertas Vietnam Selatan tidak akan diterima di negara lain.

             Keistimewaan emas yang lain adalah ia sukar diperoleh dan tidak boleh dicipta. Justeru itu ia sukar untuk dimanipulasikan. Kuantitinya tidak boleh ditambah dengan mudah. Ini menyebabkan emas sentiasa bernilai. Ini berbeza sekali dengan wang kertas. Ia boleh dicetak sesuka hati oleh pemerintah. Jika jumlah cetakan terlalu tinggi, maka nilainya akan menurun. Kenaikan harga barang yang menggila akan berlaku. Ia dipanggil hyperinflasi. Jika nilai wang kertas jatuh dengan teruk, wang kertas tersebut akan terus ditolak oleh rakyat. Sejarah telah membuktikan sistem wang kertas akan gagal. Terdapat banyak bukti kegagalan wang kertas di dalam sejarah tamadun manusia. Manipulasi harga emas sekarang dilakukan oleh Central Bank di US. Ini dilakukan untuk mengekalkan nilai US dollar dan menekan harga emas supaya tidak terlalu tinggi. Akan tetapi mereka semakin hilang kawalan keatas harga emas. Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi apabila mereka telah hilang kawalan ke atas harga emas.
          
WANG KERTAS

Selain daripada mudah dibinasakan, wang kertas merupakan penyimpan nilai yang lemah. Ini kerana nilainya sentiasa turun dalam jangka masa panjang. Kita akan dapati kuasa beli wang kertas akan berkurangan. Sebagai contoh, pada tahun 1980an, kebanyakan pelajar sekolah membawa antara 20 sen dan 30 sen sebagai duit poket. Duit tersebut cukup untuk membeli nasi dan air minum. Bagaimana dengan sekarang – tahun 2010? Rata-rata ibu-bapa  memberikan wang poket RM3 – RM4 untuk membeli makanan dan minuman. Dengan kata lain ibu-bapa zaman sekarang terpaksa membayar 10 kali ganda untuk membeli barang yang sama. Ini menunjukkan kuasa beli wang kertas akan merosot di dalam jangka masa yang panjang.
















2 comments:

  1. drprd diaorg join ID tu baik diaorg melabur emas kan senang,hu3

    ReplyDelete
  2. join login fb dpt rm100 apa dpt,hu3 tipu je sume tu,baik melabur emas kan senang,hahahahaha

    ReplyDelete